Najib Tun Razak dan Dr. Manmohan Singh bersama-sama melancarkan Little India di Brickfields, Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dan rakan sejawatan beliau dari India, Dr Manmohan Singh, hari ini merasmikan "Little India" sebuah kawasan kediaman masyarakat India di Brickfields di sini.
Pada majlis penuh bersejarah itu, Najib bersama Manmohan yang sedang melawat negara ini, melancarkan sebuah kolam pancutan air yang menjadi simbol bermulanya suatu langkah baru dalam hubungan rapat antara kerajaan dan kerajaan serta rakyat dengan rakyat kedua-dua negara.
"Ini lebih daripada suatu simbol...ia akan menjadi tempat untuk pelancong dan yang pasti, akan memberi manfaat kepada penduduk di sini," kata Najib sebelum bermulanya majlis perasmian itu yang dihadiri kira-kira 5,000 orang dalam kawalan ketat keselamatan di sekitar kawasan berkenaan.
Little India meliputi kawasan dari Jalan Travers ke Jalan Tun Sambanthan, dengan fasa pertamanya dijangka siap Disember ini.
Kerja bagi fasa pertama, yang membabitkan kos RM17 juta, bermula Mei tahun ini dan mengandungi pembangunan sebuah kawasan dari Jalan Travers ke Jalan Tun Sambanthan oleh Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB).
Projek dua fasa berharga RM35 juta itu membabitkan pembinaan premis perniagaan baru dan kompleks parkir serta pembesaran jalan.
Kolam pancutan air berkenaan adalah yang tertinggi di negara ini, berukuran 7.62 meter dan terletak tidak jauh dari KL Sentral, hab pengangkutan di ibu negara.
Dalam ucapannya, Najib berkata kehadiran Manmohan ke majlis itu melambangkan keinginan mendalam kedua-dua negara untuk meningkatkan hubungan Kuala Lumpur-New Delhi, bukan saja dalam konteks antara kerajaan dan kerajaan, yang berkembang dengan positif, tetapi "hubungan ini juga menyentuh hati kebanyakan orang yang tinggal di Malaysia dan di kawasan Brickfields".
Katanya, kunjungan pemimpin India itu juga amat penting kerana ia mencerminkan bahawa hubungan antara Malaysia dan India semakin kukuh dari semasa ke semasa dalam banyak bidang.
Najib berkata, majlis perasmian itu amat besar ertinya bagi penduduk Brickfields kerana ia sebahagian usaha penting usaha kerajaan untuk membangunkan semula bandar.
"Kami ingin mempamerkan kedinamikan, kesegaran dan kemajuan Brickfields...Brickfields memiliki keindahan tersendiri...tempat menjamu selera yang hebat. Paling penting, kerajaan telah mengotakan janjinya untuk membangunkan semula Brickfields," katanya.
Najib berkata, kerajaan membuat keputusan untuk membangunkan kawasan itu sebagai Litte India kerana Brickfields, yang merupakan sebuah kawasan menarik, telah hilang serinya.
Katanya, majlis hari ini menjadi pembuka tirai bagi era baru yang akan dinikmati oleh Brickfields.
"Brickfields tidak akan seperti sebelum ini lagi...ia akan menjadi Brickfields yang akan menampilkan kepada dunia...sebuah Little India di Malaysia," katanya.
Dalam ucapannya pula, Manmohan berkata Malaysia mewakili segala yang terbaik dari Asia.
"Ia memiliki kepelbagaian dalam banyak hal dan sebuah negara yang sungguh indah...tempat tinggal rakyat daripada etnik, agama dan latar belakang yang berbeza," katanya.
Beliau berkata, Malaysia juga menampilkan contoh tentang sikap tolak-ansur, keharmonian dan kehidupan bersama secara aman.
"Inilah sebenarnya apa yang kami cuba wujudkan di India," katanya.
Beliau berkata, masyarakat India di Malaysia memberi sumbangan penting terhadap pembangunan negara ini dan mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang profesional.
"Keputusan membangunkan Little India ini... adalah suatu penghargaan terhadap sumbangan semua rakyat Malaysia berketurunan India dalam memajukan negara ini," katanya.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Najib kerana mengilhamkan idea besar ini dan katanya, di bawah kepimpinan Najib, Malaysia memasuki era baru yang penuh dengan kemajuan dan kemakmuran.
Katanya, hubungan Malaysia-India akan terus berkembang pada tahun-tahun akan datang.
Sementara itu, ketika berjalan-jalan di sekitar kawasan itu selama beberapa minit selepas Manmohan meninggalkan majlis berkenaan, Najib diberi sambutan mesra oleh beribu-ribu hadirin yang berkumpul di situ.
Dalam ucapannya, Raja Nong Chik berkata Memorandum Persefahaman (MOU) antara Malaysia dan India mengenai penubuhan bandar raya berkembar KL-Chennai telah diluluskan secara dasarnya dan dijadualkan dimeterai menjelang akhir bulan depan. - BERNAMA
Sumber: Berita Harian
No comments:
Post a Comment