Monday, April 27, 2009

Raja Nong Chik ditemubual oleh wartawan Utusan

Raja Nong Chik kini 'kuli' warga kota

ARKIB : 25/04/2009

Oleh ZULKIFLI JALIL dan WAN SYAMSUL AMLY WAN SEADEY
(WARTAWAN UTUSAN)

SENATOR Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin sedang merenung Tasik Putrajaya dari aras empat Menara Putrajaya Holdings (Pjh) ketika Utusan Malaysia yang diiringi pembantu beliau melangkah masuk ke bilik pejabat Menteri Wilayah Persekutuan, Rabu lalu.

Setelah disapa dan salam dihulurkan, sambil duduk di kerusinya, Raja Nong Chik, 56, mengakui cabaran sebagai menteri yang digalasnya kini adalah suatu tanggungjawab dan tugas yang berat.

Meskipun terkejut dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang melantiknya ke jawatan itu tempoh hari, beliau bertekad membalas kepercayaan itu dengan berusaha lebih keras dan sedaya mungkin untuk mendalami dan menyelesaikan permasalahan warga kota.

"Dulu (sebelum Mac 2008) Barisan Nasional (BN) kuat dan sekarang kita masih juga kuat tetapi bezanya hari ini kita kena bekerja lebih kuat dan kerja kita itu kini dalam 'perhatian' rakyat. Saya sering mengingatkannya untuk diri saya," katanya.

Berpenampilan low profile, Raja Nong Chik barangkali kurang dikenali oleh mereka dari luar Kuala Lumpur. Tetapi bagi warga kota khususnya di Lembah Pantai dan Bangsar, sebut sahaja nama "Datuk Raja", pantas tersebar luahan tentang komitmen dan kesungguhannya dalam membantu menyelesaikan masalah setempat.

Berpengalaman luas dalam politik UMNO, daripada pemeriksa kira-kira di peringkat cawangan, ketua pemuda, ahli jawatankuasa (AJK) bahagian, sehinggalah ke jawatan Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai yang disandang sekarang.

"Kuala Lumpur bukannya asing buat saya, sejak kecil lagi saya sudah berada di sini meskipun saya berasal dari Taiping.

"Saya bersekolah dulu naik bas merata dalam KL ini, cuma satu perbezaan yang ketara saya nampak ialah daripada segi perpaduan kaum. Dulu saya dan rakan-rakan dari kaum Cina dan India sungguh akrab.

"Masalah jiran semuanya kami tahu tetapi kini percampuran kurang, duduk dalam flat sampai tak tahu ada jiran yang susah dan menghadapi masalah," katanya.

Sebab itu tegas Raja Nong Chik, matlamat beliau atas kapasiti jawatan Menteri Wilayah Persekutuan adalah mahu membasmi dan mengurangkan semaksimum mungkin kemiskinan di bandar.

Akur akan suasana politik Kuala Lumpur yang hampir kesemua kerusi Parlimennya di bawah pembangkang kecuali Setiawangsa, Labuan dan Putrajaya, Nong Chik menyasarkan dua masalah penting yang akan diberi keutamaan beliau untuk diselesaikan.

"Masalah perumahan untuk warga kota dan tapak berniaga," ujarnya ringkas.

Ditanya adakah beliau maksudkan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Pantai, Raja Nong Chik berkata:

"Ya, ketika ini ia disewa dan saya sedang dalam proses untuk membantu penyewa di situ membeli kediaman mereka."

Usaha untuk menukar syarat rumah sewa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini bagi membolehkan penyewanya membeli unit kediaman mereka pernah dibangkitkan untuk pertimbangan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 3 Mac lalu - beberapa hari menjelang pilihan raya umum ke-12. Namun, perkara itu 'tergantung' sehinggalah diusahakan kembali oleh Raja Nong Chik.

Dianggarkan lebih 3,000 penyewa rumah PPR berhasrat membeli rumah berkenaan. Mengikut bancian DBKL, terdapat 20,000 setinggan melibatkan 3,689 keluarga tinggal di sekitar Lembah Pantai pada 2008.

Bagaimanapun sehingga hari ini sebanyak 3,189 keluarga telah dipindahkan dan yang belum berbuat demikian hanya lebih kurang 500 keluarga.

Raja Nong Chik percaya kira-kira 30,000 orang berminat membeli rumah PPR berkenaan.

"Saya baru mengambil alih (Kementerian Wilayah Persekutuan), Insya-Allah, kita ada prosedur-prosedurnya," katanya.

Bagi tapak berniaga pula, Raja Nong Chik berkata, dalam keadaan ekonomi yang suram ketika ini, beliau bertekad mahu memberi peluang kepada keluarga yang berpendapatan rendah untuk menjana pendapatan.

"Dalam keadaan sekarang, sukar dapat kerja. Jadi, saya akan beri tumpuan supaya ruang-ruang berniaga diberikan secara maksimum khususnya di tempat-tempat strategik," katanya.

Dalam pada itu, beliau juga tidak menolak bahawa perhatian serius akan diberi ke atas keberkesanan DBKL dalam menangani masalah warga kota. Ini kerana hampir 90 peratus aduan diterima oleh DBKL.

Antara isunya berkisar permintaan supaya ditambah kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sibuk, pusat beli-belah dan tempat tumpuan pelancong, kes pembuangan sampah dalam saluran air di kawasan tumpuan penjaja dan masalah banjir di beberapa kawasan yang memerlukan pembinaan tadahan air.

"Memanglah ada perancangan untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai kota metropolitan berkelas dunia.

"Tetapi matlamat saya pada masa ini adalah untuk menumpukan kepada mereka yang berpendapatan rendah yang meliputi semua lapisan masyarakat," katanya.

Dan ketika Utusan Malaysia meminta diri, Raja Nong Chik beberapa ketika kemudian kembali melemparkan pandangan ke Tasik Putrajaya. Ia seolah-olah mengingatkan dirinya dan semua wakil rakyat BN bahawa begitulah mereka ketika ini - berada dalam 'perhatian' rakyat.

No comments:

Post a Comment