Raja Nong Chik berkata dalam satu lawatan beliau ke DBKL, dalam masa 3 bulan pertama ini beliau akan turun padang untuk bertemu dengan pemimpin masyarakat supaya hal ehwal masyarakat wilayah dapat didengar, dilihat sendiri oleh beliau. Bagi saya, satu pendekatan yang wajar.
Jika kita perhatikan masyarakat Malaysia secara umumnya, terdapat 3 lapisan ataupun golongan masyarakat yang terdapat di Malaysia. Iaitu lapisan pertama adalah pemimpin utama seperti PM kita, para menteri dan seumpama dengannya. Manakala lapisan kedua adalah golongan yang juga pemimpin tapi bagi kawasan yang lebih kecil seperti ketua kampung, ketua kawasan dan seumpama dengannya. Manakala lapisan ketiga adalah orang umum, ya, seperti kita.
Apa yang menyebabkan terbantutnya kemajuan sesuatu tempat ataupun keperluan orang umu tidak dihiraukan adalah disebabkan salah faham ataupun ketidak-sampaian maklumat antara 3 lapisan tadi. Oh maaf! Saya bukanlah hendak membuat kajian terhadap masyarakat Malaysia tapi cuma inilah yang biasa berlaku dan kadang-kadang ia tidak disedari. Jadi, apa yang kita boleh buat?
Pada pendapat saya, antara 3 golongan ini hendaklah ada komunikasi antara satu sama lain, dan bagaimanakah itu? Rakyat luangkan masa pergi ke pejabat pemimpin utama? Wah! Nanti seperti tunjuk perasaan pula kalau satu kampung ingin bertemu dengan PM kita. Cara lain pula, pemimpin utama kita hendaklah turun padang bertemu dengan orang umum untuk melihat dan mendengar sendiri apa yang diperlukan oleh orang umum. Mungkin ada antara kita fikir, 'semua tempat perlukan lebih kurang sama saja iaitu tempat tinggal yang selesa, kemudahan yang baik dan seterusnya.'
Tapi yang perlu ditumpukan oleh lapisan pertama adalah luahan sebenar oleh orang yang tinggal di tempat berkenaan. Saya pernah tinggal di kawasan yang kurang diberi perhatian oleh ketua kawasan, amat merasakan isu ini amat penting untuk dipandang remeh oleh sesiapa sahaja. Kini, tinggal di KL dan mendapat tumpuan dari Raja Nong Chik seperti dapat cabutan bertuah. Betul!
Ini petikan akhbar online yang saya ambil dari Berita Harian Online.
--------------------------------------------------------------------------------
Raja Nong Chik mahu pastikan penduduk di ibu negara hidup sejahtera
KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin akan memulakan tugas baru beliau untuk permulaan tiga bulan pertama ini dengan lebih kerap turun padang berjumpa pemimpin masyarakat di ibu negara bagi mengetahui masalah yang ada.
Katanya, pendekatan itu sejajar dengan matlamat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahukan setiap pandangan dan masalah serta keperluan penduduk diutamakan bagi menjamin kesejahteraan hidup bermasyarakat di negara ini.
“Untuk jangka masa pendek bagi tiga bulan pertama ini, saya akan turun padang berbincang dengan pemimpin masyarakat di sini untuk membincangkan beberapa masalah membabitkan penduduk termasuk masalah perumahan, penjaja, penyelenggaraan dan kemiskinan di ibu negara.
“Saya juga akan mendekatkan diri atau lebih berkenalan dengan pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi memudahkan kerja sebagai satu kumpulan bagi merencana urusan di ibu negara selain mempersiapkan diri untuk prestasi kerja dalam masa sebulan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja pertama di pejabat beliau di DBKL di sini, semalam, selepas dilantik menjadi menteri terbabit menggantikan Datuk Seri Zulhasnan Rafique pada 9 April lalu.
Hadir sama, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail; Ketua Pengarah DBKL, Datuk Salleh Yusup dan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Ahmad Phesal Talib.
Raja Nong Chik berkata, dengan pengalaman yang ada sebagai Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai, beliau percaya tidak akan berhadapan sebarang masalah untuk berjumpa dengan penduduk setempat untuk bersama mendekati dan menyelesaikan masalah rakyat pada peringkat akar umbi.
Katanya, beliau juga memahami cara kerja yang dijalankan DBKL selama ini dan melihat peranan yang dimainkan DBKL perlu diperhebatkan lagi dari semasa ke semasa dengan memberi fokus utama terhadap kepentingan masyarakat.
“Pembaharuan yang akan dilaksanakan ini adalah mengikut keperluan yang ada dari segi kewangan tambahan pula dalam keadaan dunia mengalami krisis ekonomi hebat dan ini termasuk matlamat dalam menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandaraya bertaraf dunia, ia memerlukan masa dan komitmen secara berperingkat.
“Ia bukan sekadar ingin menjadikan ibu negara dikenali sebagai bandaraya berkelas dunia dan pusat perniagaan semata-mata, tetapi juga kita akan menggiatkan usaha ke arah pentadbiran dan keperluan penduduk dengan kerjasama beberapa pihak yang boleh membantu menjadikan Kuala Lumpur kota yang lebih tersusun,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Fuad berkata, pihaknya juga akan bersama-sama kementerian mendengar masalah dan pandangan masyarakat setempat selain mempertingkatkan beberapa mekanisme serta mengenal pasti ciri-ciri yang ada dalam menjadikan Kuala Lumpur bandar raya bertaraf dunia.
Oleh Umi Nadirah Abdul Rahman
-------------------------------------------------------------------------
Raja Nong Chik banyak terlibat dengan aktiviti kebajikan, dan ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan. Dengan kerja-kerja beliau yang mungkin hingga tidak sempat untuk makan malam bersama keluarga, terlibat dengan kerja-kerja komuniti adalah merupakan satu yang patut sesiapa sahaja contohi. Saya bukanlah hendak mengampu Raja Nong Chik, tapi mungkin juga. Saya 'mengampu' Raja Nong Chik kerana pemimpin seperti inilah yang setiap kawasan perlukan. Itu maksud 'mengampu' saya. Terima kasih Raja Nong Chik!
No comments:
Post a Comment