Saturday, April 25, 2009

Raja Nong Chik dan Najib tinjau masalah

Raja Nong Chik bersama timbalan beliau, M Saravanan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Ahmad Fuad Ismail mengiringi PM kita, Datuk Seri Najib Razak meninjau masalah di sekitar Jalan TAR dan Puduraya.

Berikut adalah berita lanjut mengenai tinjauan di sekitar bandaraya tersebut.

----------------------------------------------------------------------------------

PM tinjau masalah


KUALA LUMPUR 25/04/09 : Tiga minggu selepas Datuk Seri Najib Razak turun padang untuk melawat tiga kawasan di tengah-tengah bandaraya, Perdana Menteri semalam melakukan satu lagi kejutan berjalan kaki di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan Puduraya yang sentiasa sesak dengan lalu lintas.

Beliau kurang senang dengan kesesakan itu dan ketidakcekapan kemudahan awam ketika melakukan tinjauan selama sejam, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.



Najib, yang berpakaian kasual berkemeja perang dan seluar cerah, tiba di Jalan TAR, dekat Semua House pada 3.20 petang, diiringi Raja Nong Chik, timbalannya Datuk M Saravanan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail.

Di Jalan TAR, yang terkenal dengan kedai tekstil dan barang kemas, Najib diberi taklimat oleh Ahmad Fuad mengenai cadangan tempat letak kereta bertingkat berhampiran Semua House, dan beberapa rancangan menaik taraf lain di situ.

Beliau meluangkan masa kira-kira 30 minit berjalan di sepanjang lorong berkenaan sambil berhenti berbual dengan peniaga dan orang ramai.

Kemudian, beliau menaiki LRT yang penuh sesak dan terpaksa berdiri di stesen Masjid Jamek ke stesen Plaza Rakyat dan kemudian berjalan kaki di kawasan Puduraya yang terkenal dengan kesesakannya - di mana terletak terminal bas ekspres untuk perkhidmatan ke Utara dan Selatan tanah air.

Najib juga berhenti di sebuah gerai di bangunan itu mendapatkan minuman sejuk bagi menghilangkan haus berikutan cuaca panas.

Perdana Menteri yang diiringi sekumpulan pengawal keselamatan dan pegawai, menarik perhatian orang ramai.

Seorang wanita yang ternampak kelibat Najib lantas memboloskan diri di tengah-tengah kumpulan orang ramai sambil berteriak: "Saya mahu ambil gambar Perdana Menteri saya".

Najib kemudian bergerak untuk memeriksa bangunan projek Plaza Rakyat yang lama terbengkalai di sebelah Puduraya sebelum berlepas balik pada jam 4.25 petang.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Raja Nong Chik berkata, Perdana Menteri memandang berat mengenai kurangnya kemudahan dan kesesakan di tempat tertentu dan mahukan penambahbaikan dilakukan segera.

"Beliau mengalami sendiri, dengan berjalan kaki dan menaiki LRT bersama orang ramai, apa yang mereka terpaksa lalui setiap hari, seperti kesesakan dan pelbagai kesulitan lain, di kawasan sesak.

"Beliau berkata, masalah seumpama itu bukan petanda baik buat negara kita yang berusaha menjadi negara maju menjelang 2020.

"Beliau sudah mengarahkan Kementerian Wilayah Persekutuan dan kementerian lain yang berkaitan menentukan kemudahan berkenaan dipertingkat," katanya.

Mengenai projek Plaza Rakyat, Raja Nong Chik berkata Najib mahu pemaju diberi kata dua menyiapkannya.

"Perdana Menteri mahukan kami memberikan had masa kepada pemaju menyiapkan projek itu. Jika mereka tidak dapat mematuhinya, kami akan tamatkan kontrak dan cari jalan lain.

“Beliau mahukan projek itu dijalankan semula secepat mungkin," katanya.

Projek, yang pada mulanya menelan kos RM1.2 bilion itu diabaikan selama 12 tahun selepas ia bertukar tangan beberapa kali. Pemaju sekarang ialah Global Upline.

Plaza Rakyat dirancang mempunyai tiga bangunan - 79 tingkat, 49 tingkat dan 21 tingkat untuk ruang pejabat, kondominium dan sebuah hotel murah.

Mengenai rancangan menaik taraf kemudahan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengurangkan kesesakan di Jalan TAR, Ahmad Fuad berkata, tender projek tempat letak kereta bertingkat di kawasan 0.5 hektar itu sudah dikeluarkan dan kerja pembinaan dijangka bermula tidak lama lagi. - Bernama

------------------------------------------------------------------------------

Raja Nong Chik kini menjadi orang harapan kita agar dapat memajukan kawasan wilayah persekutuan. Apa-apa sekali pun andai Raja Nong Chik mampu mencapai objektif yang kita inginkan tapi rakyat sendiri yang tidak mahu kepada kemajuan tersebut, tidak ada gunanya juga. Oleh itu, marilah kita sama-sama membangunkan wilayah persekutuan bersama-sama Raja Nong Chik.

No comments:

Post a Comment