Usaha Datuk Raja Nong Chik bergaul dengan jemaah masjid dan surau di ibukota adalah satu usaha murni. Idea Datuk tentang masjid dan surau mengumpul dana sendiri melalui perniagaan amatlah bernas kerana masjid dan surau akan mempunyai dana yang lebih untuk mengembangkan lagi aktiviti-aktiviti mereka.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
Kumpul dana sendiri
KUALA LUMPUR 10 Mei – Semua masjid dan surau di Wilayah Persekutuan disarankan agar menjalankan aktiviti perniagaan dan menubuhkan tabung dana sendiri bagi memudahkan aktiviti dan dakwah dijalankan tanpa perlu mengharapkan bantuan kerajaan.
Menteri Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, beliau membuat saranan itu kerana melihat ia adalah langkah terbaik bagi menggalakkan orang Islam menjana pendapatan masjid sekali gus menjadikan ia sebagai dana tetap untuk menjalankan aktiviti dan dakwah.
Katanya, pelbagai program boleh dilakukan untuk mengumpul dana berkenaan tanpa menjejaskan persekitaran masjid dan surau yang dibina.
“Masjid bukanlah hanya sebuah rumah ibadat, ia adalah tempat berkumpul dan melakukan aktiviti yang menjuruskan kepada kebaikan dan mengeratkan hubungan antara satu sama lain.
“Jadi tidak mustahil sekiranya kawasan masjid dan surau boleh dijadikan medan untuk menambah dana masjid itu sendiri dengan menjalankan pelbagai aktiviti perniagaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Cafe Al-Ghufran di Masjid Al-Ghufran, Pinggir Taman Tun Dr. Ismail di sini semalam.
Raja Nong Chik menambah, pembukaan Cafe Al-Ghufran diharap dapat menjadi contoh kepada jawatankuasa masjid dan surau di kawasan lain bagi mencari inisiatif menyemarakkan fungsi rumah ibadat itu.
Ujarnya, Cafe Al-Ghufran merupakan kafe pertama di Wilayah Persekutuan yang dijalankan oleh jawatankuasa sebuah masjid bagi mengumpul dana mereka sendiri.
“Jika dulu golongan remaja ‘segan’ untuk mendekati kawasan masjid apatah lagi memasuki masjid namun kini mereka akan lebih dekat dengan masjid sekali gus dapat menggalakkan golongan remaja untuk datang.
“Apabila mereka mula berada dekat dengan masjid sekali gus mereka segan untuk melakukan aktiviti yang tidak sihat di kawasan ini,” ujarnya.
Sementara itu, ditanya tentang kos pembinaan kafe tersebut, Pengerusi Masjid Al-Ghufran, Hassanuddin Ali berkata, pembinaan kafe yang berkonsepkan tradisional Melayu ini mengambil masa selama empat bulan untuk disiapkan dengan kos melibatkan RM180,000.
Ujarnya, kafe tersebut menyediakan menu istimewa seperti ikan bakar, nasi lemak ayam kampung dan menu masakan barat yang menawarkan harga rendah.
“Kafe ini akan dibuka dari pukul 6 pagi hingga 11.30 malam dan menyediakan pelbagai menu daripada hidangan ala carte hingga bufet.
“Kafe ini boleh memuatkan seramai 400 pengunjung pada waktu malam dan 300 pada waktu siang serta sesuai untuk majlis perkahwinan kerana mampu memuatkan 1,000 pengunjung jika adakan secara bufet.
“Pada mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang kafe ini boleh menghubungi talian 019-2203 463,” ujarnya.
Utusan
No comments:
Post a Comment