Sunday, May 31, 2009

Raja Nong Chik - Jangan Ambil Mudah Perpaduan

Kuala Lumpur – Aktiviti-aktiviti perpaduan yang diadakan perlu dilaksanakan dengan bersunguh-sungguh agar ia menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan pelbagai kaum di negara ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, selaras dengan konsep Satu Malaysia, program itu bermatlamat meningkatkan kesedaran rakyat berbilang kaum tentang pentingnya perpaduan dan integrasi nasional.

“Ia juga bertujuan membangkitkan kesedaran rakyat supaya menjadikan elemen perpaduan sebagai teras dalam setiap tindakan selain emnjadi medan pertembungan masyarakat pelbagai kaum menerusi aktiviti yang dianjurkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Minggu Perpaduan 2009 di Taman Tasik Titiwangsa di sini semalam.

Turut hadir ialah timbalannya, Datuk M. Saravanan, Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Azman Amin Hassan dan Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Salleh Yusup.

Raja Nong Chik turut menyedarkan golongan belia agar mereka tidak memandang remeh kempen-kempen perpaduan yang dianjurkan. katanya, ia amat penting untuk disertai dan dihayati.

“Pelbagai usaha menyemai semangat perpaduan diperlukan terutama pada masa kini untuk menepis segala elemen tidak bertanggungjawab yang cuba memecah-belahkan perpaduan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau turut menggesa golongan belia agar mengetahui sejarah negara dan mengambil iktibar daripada segala kesilapan yang dilakukan golongan terdahulu.

Pelbagai aktiviti dianjurkan sepanjang program sehari itu termasuk acara sukan, memancing, sukaneka dan persembahan pentas yang disertai oleh warga kota.

Kosmo, 31 Mei 2009

No comments:

Post a Comment