Saturday, May 23, 2009

Sepuluh sekretariat UMNO WP ditubuh

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 22 Mei - Sebanyak 10 sekretariat baru Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan ditubuhkan bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat tanpa mengira perbezaan kaum dan fahaman politik.

Penubuhan itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan berkata, semua ahli jawatankuasa badan perhubungan itu terlibat dalam sekretariat berkenaan dan tiada yang terkecuali.

Menurutnya, UMNO mahu semua pihak memainkan peranan terbaik dan seterusnya merampas kembali semua kawasan yang dimenangi pembangkang.

Sepuluh sekretariat itu adalah Penerangan, Tugas-Tugas Khas, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Belia dan Orang Muda, Kebajikan, Peniaga Kecil, Latihan, Keahlian, Perhubungan Awam dan yang terakhir, Perumahan dan Kependudukan.

"Wilayah Persekutuan merupakan antara kawasan terpenting kerana ia adalah kota kosmopolitan, paling maju dan membangun dengan segala-galanya berlaku di sini.

''Bagi UMNO semua kaum termasuk Melayu, Cina dan India bukan setakat perlu dimajukan tetapi akan dipastikan mendapat pembelaan yang sewajarnya, tanpa perbezaan," katanya.

Muhyiddin berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat kali pertama badan perhubungan itu sejak beliau dilantik sebagai pengerusinya di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Wilayah Persekutuan, Senator Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan.

Pada sidang akhbar itu, beliau turut mengumumkan pelantikan Ketua UMNO Bahagian Cheras, Senator Datuk Syed Ali Al Habshee sebagai Setiausaha badan perhubungan berkenaan.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Seri Azim Mohd. Zabidi dilantik sebagai Bendahari dan Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Dr. Mohd. Shafie Abdullah sebagai Ketua Penerangan.

Ditanya sama ada sokongan pengundi Melayu terutamanya golongan muda terhadap UMNO turut dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan, katanya, perkara itu antara agenda yang dibincangkan secara panjang lebar.

Menurut beliau, ia menyentuh mengenai strategi dan pendekatan yang akan digunakan untuk menarik kembali sokongan mereka kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"Antara tugas utama Sekretariat Tugas-Tugas Khas nanti adalah membuat penilaian tentang setakat mana Melayu bandar menyokong UMNO dan BN, mereka akan membuat penilaian berkala atau situasi semasa bagi setiap kawasan Parlimen.

"Ia termasuk kekuatan dan kelemahan kita, apa strategi yang perlu diambil untuk menawan semula hati pengundi di kawasan yang kita kalah. Juga bagaimana hendak kukuhkan kedudukan di kawasan yang kita menang," katanya.

Utusan, 23 Mei 2009

No comments:

Post a Comment